Protes LCS: Polis selesai rekod keterangan 13 individu

Protes LCS: Polis selesai rekod keterangan 13 individu

Kesemua mereka tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 3 petang bersama peguam masing-masing.

Polis berkata kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
KUALA LUMPUR:
Polis selesai merekodkan keterangan 13 individu bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Ahad lalu.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Delhan Yahaya mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, beberapa individu yang dipanggil untuk dirakam keterangan tiba di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 3 petang bersama peguam dan mereka kemudian dilihat meninggalkan IPD itu sejam kemudian.

Antara yang hadir ialah Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How, Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi serta aktivis Siti Kassim.

Ahad lalu, kira-kira 60 individu terdiri pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa, ahli politik serta beberapa individu berhimpun di hadapan pusat beli-belah itu bermula 2 petang.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan berkenaan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.