Lokman diberi ‘amaran terakhir’ berkait kes hina mahkamah

Lokman diberi ‘amaran terakhir’ berkait kes hina mahkamah

Bekas ahli Majlis Kerja tertinggi Umno Lokman Noor Adam mengemukakan permohonan maaf kepada mahkamah hari ini.

Lokman Noor Adam sebelum ini diberikan notis tunjuk sebab kerana mengeluarkan kata-kata tidak sewajarnya terhadap anggota polis mahkamah dan mempertikaikan sistem perundangan negara.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengeluarkan “amaran terakhir” terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana menghina mahkamah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan perintah itu selepas Lokman mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat berhubung tindakannya pada 30 Jun lalu.

“Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berulang,” kata Sequerah.

Pada 30 Jun lalu, Lokman diberikan notis tunjuk sebab oleh Sequerah kerana tindakannya mengeluarkan kata-kata tidak sewajarnya terhadap seorang anggota polis mahkamah dan juga mempertikaikan sistem perundangan negara ketika perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut notis tunjuk sebab yang dibacakan kepada Lokman di mahkamah, Lokman telah berkata: “Orang di depan dibenarkan, jadi mengapa saya tidak boleh? Bodoh!”

Terdahulu, Lokman mengemukakan permohonan maaf berhubung tindakannya dua bulan lalu selepas hakim mendapati dia bersalah menghina mahkamah.

“Saya berjanji tidak akan mengulanginya dan akan mematuhi peraturan (mahkamah) apabila saya memasuki mahkamah lain kali.

“Saya merayu agar Yang Arif (Sequerah) memaafkan saya dan hanya mengenakan amaran. Saya tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ di mahkamah,” katanya.

Peguam K Balaguru kemudian meminta Lokman mengesahkan bahawa dia tidak akan mengulangi tindakan sedemikian pada masa akan datang.

“Saya berjanji,” kata Lokman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.