Himpunan ‘Turun Malaysia’, 3 individu didakwa esok

Himpunan ‘Turun Malaysia’, 3 individu didakwa esok

Kesemua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Bulan lalu, kira-kira 500 orang menyertai dua protes berhubung kenaikan harga barang di Kampung Baru serta Jalan Tuanku Abdul Rahman.
PETALING JAYA:
Tiga individu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok, berhubung perhimpunan ‘Turun Malaysia’ susulan kenaikan harga barang, bulan lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, individu berkenaan akan dibawa ke kompleks mahkamah pada 9 pagi.

Menurutnya, pertuduhan bagi tiga kertas siasatan adalah mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pertuduhan pertama membabitkan perhimpunan “Kenaikan Harga Barang” di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru pada 1 Julai lalu di Mahkamah Majistret Jenayah 7.

“Pertuduhan kedua membabitkan perhimpunan sama yang berlaku di hadapan pusat beli-belah Sogo pada 9 Julai dan akan dituduh di Mahkamah Majistret Jenayah 5,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata, pertuduhan ketiga pula membabitkan perhimpunan #Turun di pusat beli-belah Sogo di sini, pada 23 Julai lalu.

Tambahnya, pertuduhan itu akan dijalankan di Mahkamah Majistret Jenayah 9.

Pada 1 Julai lalu, kira-kira 100 orang menyertai protes kenaikan harga barang dianjurkan Amanah di Kampung Baru.

Bukan itu sahaja, malah, pada 23 Julai lalu, FMT melaporkan kira-kira 500 peserta protes kenaikan harga barang “Turun Malaysia” disekat pihak berkuasa daripada berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka.

Himpunan itu terdiri daripada mahasiswa, ahli parti politik dan beberapa individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.