Direnjat elektrik guna telefon waktu ribut petir, budak 12 tahun maut

Direnjat elektrik guna telefon waktu ribut petir, budak 12 tahun maut

Nur Asyqin Qistina ditemukan dengan telefon bimbit di dalam tangannya yang mempunyai kesan lecur dan pengecas telefon berdekatan, selain terdapat kesan terbakar di tilam.

Ketika kejadian di Kampung Baru Sungai Raya Luar dekat Gua Musang kira-kira 4.50 petang semalam, kawasan itu sedang dilanda ribut petir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut setelah dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Baru Sungai Raya Luar dekat Gua Musang, Kelantan semalam.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata, bapa mangsa, M Nor Zawawi Awang melaporkan kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak mereka, Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur.

Ketika kejadian kira-kira 4.50 petang itu, kawasan tersebut sedang dilanda ribut petir.

“Apabila selesai solat Asar di surau di hadapan rumah, pengadu mendengar bunyi petir. Pengadu pulang ke rumah dan dimaklumkan bahawa tiada elektrik,” katanya, menurut laporan Bernama.

Pengadu kemudian menghubungi pembaiki inverter solar yang memaklumkan bahawa peralatan tersebut rosak akibat panahan petir, tambahnya.

“Lebih kurang 15 minit kemudian, isteri pengadu memaklumkan bahawa Nur Asyqin Qistina pengsan di tempat tidur,” kata Sik.

“Pengadu kemudian pergi ke tempat tidur anaknya dan didapati anaknya pengsan dan di tangan kanan anaknya terdapat telefon bimbit serta ada pengecas telefon bimbit berdekatan anaknya.”

Turut terdapat kesan lecur di tangan kanan mangsa dan kesan terbakar pada tilam, tambahnya.

Sik berkata, bapa mangsa kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan dia disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan di tempat kejadian didapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan kematian dengan perlakuan jenayah dan dipercayai (terdapat) kesan renjatan elektrik daripada kejadian panahan petir terhadap inverter solar rumah pengadu,” katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang pada 8 malam tadi untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.