
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye dan Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya, Azlan Sani Zawawi berpendapat faktor usia muda bukan punca utama berlakunya nahas tetapi kebanyakannya disebabkan kegagalan pengguna mematuhi peraturan.
Lee berkata, pihak berkuasa seharusnya memfokuskan usaha mendisiplinkan pengguna kerana kemalangan tidak mengira usia lebih-lebih lagi membabitkan kumpulan cenderung melanggar peraturan jalan raya seperti ‘Mat Rempit’ atau samseng jalanan.
“Tiada guna naik had usia mohon lesen motosikal kepada 21 tahun sekiranya tahap kesedaran pematuhan jalan raya masih rendah, ini patut diselesaikan,” katanya kepada FMT.

Lee mengulas cadangan perunding pengangkutan Rosli Azad Khan supaya kerajaan menaikkan had umur minimum kelayakan lesen motosikal daripada 16 kepada 21 tahun.
Beliau mengulas statistik terbaharu dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menunjukkan terdapat 25,958 kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan di negara ini dari 2014 hingga 2020.
Mengulas lanjut, Lee berkata pihak berkuasa juga perlu tegas menguatkuasakan undang-undang terutama di kawasan berisiko kemalangan dan menyelenggara jalan raya supaya dalam keadaan baik.
“Sepatutnya jalan raya diselenggara dan dibaiki segera apabila terima aduan, pihak berkuasa tempatan juga perlu banyakkan lampu di laluan berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Azlan atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berkata usia 21 tahun untuk memohon lesen motosikal sudah terlalu lewat kerana ramai belia memerlukan lesen bagi menunggang motosikal ke tempat kerja.
“Kalau hendak naikkan pun saya cadangkan usia 18 tahun jika ramai berpandangan 16 tahun belum cukup matang dalam selok belok tunggangan,” katanya.