PBM sokong resolusi Wanita BN untuk perkasa wanita

PBM sokong resolusi Wanita BN untuk perkasa wanita

Enam resolusi yang dikemukakan Wanita BN itu sejajar dengan prinsip penubuhan PBM, kata Ketua Wanita PBM Dr Daroyah Alwi.

Sokongan PBM terhadap resolusi Wanita BN itu dibuat menjelang mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan memutuskan permohonan parti tersebut menyertai gabungan itu.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyokong cadangan memperkasakan wanita yang dibuat Wanita Barisan Nasional (BN) dalam kongres sayap itu semalam.

“Enam resolusi yang dikemukakan Wanita BN sejajar prinsip penubuhan PBM,” kata Ketua Wanita PBM Dr Daroyah Alwi.

Beliau mengulas resolusi Wanita BN, termasuk gesaan supaya kerajaan meminda Perlembagaan bagi memberi kerakyatan automatik kepada kanak-kanak lahir di luar negara yang beribukan rakyat Malaysia.

Wanita BN turut menggesa penubuhan Universiti Wanita dan Bank Wanita.

Sokongan PBM terhadap resolusi itu dibuat menjelang mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan memutuskan permohonannya menyertai gabungan berkenaan.

Pada 3 Ogos lepas, pengganti presiden PBM Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, parti itu memohon untuk menyertai BN kira-kira tiga minggu lepas, tetapi tiada respons daripada gabungan berkenaan setakat ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata, status permohonan PBM akan diketahui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Penganalisis politik seperti Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan Jeniri Amir daripada Majlis Profesor berpendapat, penyertaan PBM tidak akan menambah nilai kepada BN dan hanya akan melemahkan gabungan itu disebabkan keahliannya yang sedikit serta kekurangan pengaruh.

Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid bagaimanapun menyangkal kritikan itu dengan berkata, parti itu mempunyai kira-kira 200,000 ahli di 162 bahagian di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.