
Disebabkan peruntukan rendah untuk kesihatan awam, katanya, banyak keluhan didengar, termasuk masa menunggu terlalu lama untuk konsultasi doktor.
“Saya tahu semua kementerian minta duit dari perdana menteri. Semua kementerian sama penting, tetapi ada juga kementerian lebih penting daripada kementerian lain.
“Seperti kata George Orwell dalam buku 1984 ‘all animals are created equal, but some are created more equal than others’,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Khairy berkata, pesakit kanser terpaksa menunggu tiga bulan untuk menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT) dan resonans magnetik (MRI) di Hospital Kuala Lumpur.
“Itu belum di Kementerian Kesihatan, klinik desa dan kuarters kesihatan.
“Sebab itu hari ini jemput perdana menteri. Kita tahu hati budi (Ismail) yang sayang Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau juga berharap Malaysia dapat menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan percuma pada masa akan datang.
“Kita harap perdana menteri akan terus (jaga) sistem kesihatan agar terpelihara dan setimpal dengan pengorbanan kakitangan KKM. Harapan besar sistem kesihatan negara adalah mendapat sokongan pelaburan pada masa akan datang,” katanya.