Kes buli MRSM Kuantan: Tak wujud elemen gengsterisme, kata polis

Kes buli MRSM Kuantan: Tak wujud elemen gengsterisme, kata polis

Kes itu disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan akibat perbuatan khianat, kata Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Seorang wanita dipercayai ibu pelajar yang menjadi mangsa buli di MRSM Kuantan mendakwa di Facebook baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan tiada sebarang elemen gengsterisme dipercayai wujud dalam kes buli membabitkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pengesahan itu dibuat berdasarkan siasatan awal polis berhubung laporan dibuat ibu pelajar terbabit.

Menurut laporan Utusan, beliau berkata pihaknya menerima dua laporan daripada ibu mangsa dan warden MSRM berhubung kes itu.

Sebelum ini, Wan Zahari memaklumkan polis membuat siasatan susulan catatan berkaitan kes itu dimuat naik pemilik akaun Facebook Nazrah Mohamed.

“Kita sudah merakam percakapan mereka yang terlibat seperti guru-guru, pelajar-pelajar MSRM termasuk ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu. Jadi, siasatan awal juga mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian ini,” katanya.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan akibat perbuatan khianat, tambahnya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang hantaran dan perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan sewajarnya adalah mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, wanita yang dipercayai ibu mangsa mendakwa menerusi akaun Facebook bahawa baju sekolah anaknya diconteng dan rambut digunting ketika tidur.

Beliau mendakwa wujud perbuatan khianat serta budaya gengsterisme di sekolah itu dan tiada sebarang tindakan diambil pihak pengurusan sekolah berhubung kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.