
Katanya, zakat itu yang diterima tahun ini sekadar RM5.3 juta sahaja daripada 100,000 hektar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
“Kita tidak pasti kenapa zakat padi ini sangat rendah, jumlahnya tidak sampai 10%. Kemungkinan disebabkan padi ini diusahakan oleh orang bukan Islam, mereka tidak diwajibkan berzakat, manakala tuan tanah pula hanya menerima hasil sewa tanah, jadi mereka juga tidak perlu bayar zakat.
“Jika ditolak separuh daripada itu yang bukan beragama Islam, maka tinggal RM25 juta dan kalau tolak lagi separuh dengan anggapan tidak mencapai nisab, paling tidak sepatutnya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) boleh dapat RM12.5 juta.
“Takkan yang 90% itu semua buat pembayaran zakat padi sendiri. Tak tahulah kalau mereka bayar sendiri…tetapi ini menunjukkan berlaku kelompongan dalam pembayaran zakat berkenaan dan menyebabkan umat Islam hilang satu sumber kekayaan iaitu zakat,” katanya menurut Berita Harian.
Sehubungan itu, Sanusi meminta pesawah membayar zakat padi kepada LZNK bagi memastikan ia dapat diagihkan kepada asnaf dan membangunkan ekonomi umat Islam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman, berkata kutipan zakat padi masih statik dan tiada lonjakan besar berlaku setiap tahun.
“Justeru, kita ambil pendekatan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk mengeluarkan arahan kepada semua agensi pembeli atau pengilang padi supaya mencetak peringatan berzakat di semua resit pembelian padi.
“Kita harap, kutipan zakat padi ini akan meningkat selepas ini kerana zakat ini juga berkait dengan keberkatan, Allah akan uji dengan pelbagai ujian seperti serangan penyakit padi serta bencana alam kemarau dan sebagainya. Seolah tiada penyelesaian bab penyakit padi ini. Kita lupa bahawa ada hak yang belum kita selesai,” katanya.