Kami mampu dapatkan sokongan berbilang kaum, tegas PBM

Kami mampu dapatkan sokongan berbilang kaum, tegas PBM

PBM menegaskan ia bukan parti yang lemah, sebaliknya mempunyai 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara.

PBM akan fokus mempertahankan kerusi dimenangi pemimpin parti sebelum ini, namun sedia bertanding di kawasan lain yang bersesuaian, kata Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid.
PETALING JAYA:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) mempertahankan permohonan mereka menyertai Barisan Nasional (BN) bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid menegaskan, mereka bukan parti yang lemah, sebaliknya mempunyai 200,000 ahli di 162 bahagian seluruh negara.

“PBM parti pelbagai bangsa, amat sesuai mewakili BN di kawasan yang pengundinya berbilang kaum. Tiada parti khusus pelbagai kaum dalam BN,” katanya kepada FMT.

Zakaria berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan dua penganalisis yang menyifatkan PBM sebagai parti yang tidak akan menambah nilai kepada BN sebagai parti komponen.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara dan felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, parti baharu Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin itu akan melemahkan kedudukan BN disebabkan keahliannya yang sedikit dan pengaruhnya yang boleh dipersoalkan.

Selain itu Jeniri berpendapat, jika BN menerima PBM, ia akan memakan diri, khususnya di kawasan bandar di mana, menurutnya, Zuraida dan pemimpin PBM lain dilihat sebagai tidak berprinsip.

PBM diterajui Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai presiden, manakala Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong menjadi naib presiden. Bersama Zuraida, mereka pernah menjadi ahli PKR.

Sehingga kini BN masih belum menerima permohonan PBM kerana mereka perlu mendapat persetujuan konsensus parti komponen lain.

Mengulas lanjut, Zakaria yang juga Pengerusi PBM Pahang berkata, menuju PRU15, PBM akan fokus mempertahankan kerusi dimenangi pemimpin parti sebelum ini namun sedia bertanding di kawasan yang bersesuaian dengan kekuatan akar umbi.

“PBM membudayakan khidmat membantu rakyat yang boleh dijalankan bukan dengan menjadi Ahli Parlimen atau ADUN semata-mata tetapi atas apa sahaja kapasiti dan peringkat masyarakat dengan sokongan kerajaan memerintah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.