
Katanya, keputusan sama ada diterima atau sebaliknya akan diketahui selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dijadual Isnin ini.
“PBM mempunyai semangat yang tinggi kerana saya melihat daripada pengalaman, kita boleh mengharungi apa sahaja kemungkinan,” katanya menurut Bernama.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dilaporkan berkata, keputusan permohonan PBM untuk menyertai parti itu akan dibuat kepemimpinan secara konsensus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.
Awal bulan ini Zuraida berkata, BN belum memberi maklum balas berhubung permohonan PBM walaupun sudah menghantar surat permohonan tiga minggu sebelum itu.
Bagaimanapun, BN Ampang menolak untuk bekerjasama dengan Zuraida bagi menghadapi PRU dengan alasan pihaknya tidak boleh bekerjasama dengan PBM kerana mereka adalah golongan meninggalkan PKR dan pernah menjadi lawan kepada gabungan itu.
Bantahan itu dibuat menerusi kain rentang dipasang sekitar kawasan Parlimen berkenaan termasuk di depan pejabat Umno Bahagian Ampang.
Sementara itu, Zuraida yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata PBM mempunyai calon berkaliber dengan rekod perkhidmatan yang bagus kepada rakyat, dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, rakyat tidak lagi mengundi calon wakil rakyat berdasarkan parti seperti diamalkan sebelum ini, sebaliknya memilih calon yang mampu memberi khidmat terbaik.