MAHA 2022: Jualan laman ternakan lepasi sasaran RM2 juta

MAHA 2022: Jualan laman ternakan lepasi sasaran RM2 juta

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, jumlah nilai jualan melebihi RM2.4 juta.

Pengunjung mengambil peluang melihat lebih dekat spesis lembu sado yang dipamerkan di laman ternakan sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Jumlah nilai jualan di semua lima zon Laman Ternakan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2022 melebihi RM2.4 juta, dengan purata kunjungan harian 30,000 orang, setakat 11 Ogos lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Ternakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, jumlah itu melebihi sasaran awal RM2 juta.

“Lembu sado yang sememangnya tarikan utama pengunjung menjadi penyumbang tertinggi prestasi berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai penutup tirai Laman Ternakan, jualan lelong ayam serama akan diadakan di zon Avian Valley pada hari terakhir MAHA 2022 esok.

Beliau berkata, orang ramai boleh mengunjungi zon Livestock Show Valley di Laman Ternakan untuk menyaksikan demonstrasi permanian beradas, pemeriksaan kebuntingan serta pengumpulan dan analisis semen kambing dan bebiri pada dua hari terakhir MAHA 2022.

“Bagi pameran lembu penjantan baka dan teknologi penternakan pintar, pengunjung boleh ke zon Livestock Fair Valley dan Garden Hall,” katanya.

Beliau turut menyarankan pengunjung ke zon Pet Valley untuk bermesra, bergambar dan memberi makan kepada haiwan pada kadar bayaran berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.