
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Ahmad Parveez Ghulam Kadir memberitahu FMT Business, sektor itu menghadapi kekurangan 54,190 tenaga kerja setakat Mei lalu, dengan 53.4% atau 28,940 pekerja diperlukan sebagai penuai dan pengumpul buah tandan segar (BTS).
Berdasarkan purata produktiviti seorang pekerja sekitar dua tan BTS sehari, Parveez menganggarkan kira-kira 57,800 tan BTS tidak dapat dituai sehari.
“Dengan mengambil kira 26 hari bekerja dalam sebulan, dianggarkan 1.5 juta tan BTS tidak dituai setiap bulan dari Januari hingga Mei lalu,” katanya.
Dengan harga purata RM1,390 bagi setan BTS dan RM6,300 untuk setan minyak sawit mentah (MSM), penanam sawit akan kerugian RM10.46 bilion dalam tempoh itu. Harga MSM terkini ialah RM4,119 setan berbanding harga terendah dalam sejarah RM3,631.50 setan pada 15 Julai lalu.
Sektor itu lega sedikit susulan persetujuan antara Dhaka dan Jakarta, serta keputusan 18 Julai lalu oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menambah senarai negara sumber pekerja asing.
Tetapi, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas dakwaan penyelewengan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen pekerjaan menyebabkan kelewatan memproses permohonan dari negara itu.
Ahmad Parveez berkata, MPOB sedang memantau jumlah pekerja yang diambil dan kekurangan yang masih dihadapi syarikat perladangan.
Di bawah Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang baru diperkenalkan, Malaysia kini menerima pekerja dari Thailand, Bangladesh, Filipina, Kemboja, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Indonesia dan India.
Kini, pekerja asing yang mahu bekerja di Malaysia perlu memohon melalui FWCMS, sistem yang dibangunkan Bestinet Sdn Bhd itu menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dalam proses pengambilan, pengurusan dan pemantauan pekerja asing di negara ini.
Dalam pada itu, pemangku Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), NK Tong menyambut baik pengenalan FWCMS dan yakin sektor pembinaan serta pembangunan perumahan dapat segera mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja.
“Semoga dengan penarikan balik pembekuan ini, industri pembinaan boleh mendapat akses kepada lebih ramai pekerja tepat pada masanya untuk menyelesaikan masalah yang timbul sejak pandemik dan pembukaan semula ekonomi.”
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin berharap sistem itu dapat memudahkan pengambilan pekerja lebih lancar menjelang akhir bulan ini.