
Menurut kenyataan, MAARA telah menandatangani memorandum persefahaman dengan UTM untuk tempoh tiga tahun dalam bidang penyelidikan, kepakaran, perkongsian pengalaman dan pembangunan teknologi bagi tujuan merangka pelan tindakan ELV yang praktikal dan boleh diguna pakai dengan baik di Malaysia.
MAARA berkata, memorandum itu akan mengambil perhatian dan usaha serius dalam aspek pengurusan, pembuangan dan pengilangan semula alat ganti dan komponen terpakai kenderaan bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar, serta menjamin kelangsungan perniagaan ahli-ahli.
Katanya, hala tuju yang jelas amat penting bagi membolehkan pelaburan bijak dibuat untuk tempoh jangka panjang, dengan mengambil kira kepentingan untuk sektor kitar semula itu dapat dikawal selia sebaik mungkin.
“Ia turut mengambil kira amalan sebenar industri dalam mewujudkan ‘situasi menang-menang’ kepada pengguna, peniaga dan juga kerajaan,” katanya.
Memorandum persefahaman itu dimeterai antara Presiden MAARA Khan Mohd Akram Khan, Naib Canselor UTM Ahmad Fauzi Ismail serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba di Kampus UTM Kuala Lumpur.
Melalui memorandum persefahaman itu, MAARA komited untuk mengadakan beberapa aktiviti seperti libat urus dengan pihak universiti dalam bidang kajian dan penyelidikan.
“Ia juga sebagai ruang untuk MAARA berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai aspek amalan sebenar industri. Untuk tujuan ini, MAARA akan menyediakan maklumat yang diperlukan serta cadangan supaya dapat diambil kira dalam merangka pelan tindakan ELV ini,” katanya.
MAARA adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan pada 2008 bertujuan menggiatkan industri automotif kitar semula di Malaysia, mempunyai lebih 250 ahli di seluruh negara dan mereka terdiri daripada pelbagai kumpulan peniaga iaitu pengimport, pengeksport, peruncit, pemborong, pengusaha bengkel, pengusaha barang lusuh dan pengilang semula.