Jerebu: Sri Aman rekod bacaan IPU tak sihat

Jerebu: Sri Aman rekod bacaan IPU tak sihat

Bacaan IPU di lokasi itu berada di tahap tidak sihat iaitu 105 pada 1 pagi tadi.

Sri Aman menjadi satu-satunya lokasi dengan bacaan IPU tidak sihat dan ia terus meningkat sehingga 8 pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sri Aman menjadi satu-satunya lokasi di Sarawak yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat akibat keadaan berjerebu pada pagi ini.

Berita Harian yang memetik maklumat di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, bacaan IPU di lokasi itu berada di tahap tidak sihat iaitu 105 pada 1 pagi.

Bacaan itu mula meningkat selepas itu dengan 111 dan 121 pada 3 pagi.

Beberapa jam kemudian ia mencapai bacaan 131 pada jam 4 pagi, diikuti dengan 142 pada jam 5 pagi, 151 pada jam 6 pagi dan 152 pada jam 7 dan 8 pagi.

Setakat 8 pagi tadi, bahagian lain di negeri itu masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana dengan Kuching 70, Samarahan (74), Serian (83), Sibu (56), Mukah (53), Bintulu (61), Miri (56), Limbang (55) dan Lawas (53).

Dua bahagian pula mencatatkan bacaan pada tahap baik iaitu Betong (49) dan Kapit (43).

Mengikut bacaan IPU, 0 – 50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51 – 100), tidak sihat (101 – 200), sangat tidak sihat (201 – 300), berbahaya (301 – 400), sangat bahaya (401 – 500) dan kecemasan (lebih 501).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.