
Gesaan itu dibuat secara bersama bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong, sambil memaklumkan penubuhan semula JKSTUPKK bukan sahaja untuk meneruskan siasatan terhadap skandal LCS, malah membasmi masalah ketirisan dan penyelewengan wang kerajaan.
“Sehubungan dengan pengumuman perdana menteri untuk siarkan secara umum laporan JKSTUPKK berkenaan dengan projek LCS, kami ingin menyeru agar beliau (Ismail Sabri Yaakob) dan kerajaan mengembalikan fungsi dan peranan JKSTUPKK dalam masa terdekat dengan Ambrin Buang sebagai pengerusi untuk menjamin kesinambungan kerja siasatan,” katanya dalam kenyataan.
JKSTUPKK ditubuhkan selepas Kabinet kerajaan PH dalam mesyuarat pada 30 Mei 2018 mencapai persetujuan untuk melakukan siasatan terhadap tadbir urus, perolehan dan kewangan di pelbagai kementerian.
JKSTUPKK juga akan mengenal pasti sekiranya berlaku penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara.
Dalam pada itu, Mohamad dan Chin Tong turut menyambut baik pengumuman Ismail bahawa mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk nyahklasifikasikan laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan Ambrin.
Katanya, penubuhan JKSTUPKK ketika PH sebelum ini, terdiri daripada pakar dalam bidang perundangan, perakaunan, pengauditan dan ketenteraan.
“Dalam tempoh lebih kurang tiga tahun, JKSTUPKK melengkapkan 39 siasatan meliputi sembilan kementerian, khasnya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan. Pencapaian yang mengagumkan ini adalah hasil titik peluh Ambrin bersama lima ahli jawatankuasa dan pasukan sekretariat.
“Malangnya, JKSTUPKK dibubarkan dan keseluruhan kontrak ahli jawatankuasa tidak disambung lagi selepas Julai 2021,” katanya.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh, berkata Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut bagi projek LCS apabila tiada satu kapal pun yang berjaya disiapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM6 bilion bagi projek itu.
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein selepas itu, berkata pihak yang terlibat dalam salah laku berkenaan akan dibawa ke muka pengadilan.