Sindiket edar dadah di Johor tumpas, 3 termasuk warga asing ditahan

Sindiket edar dadah di Johor tumpas, 3 termasuk warga asing ditahan

Ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 49 tahun ditahan selepas polis menemui pelbagai dadah dan menyita aset bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Polis berkata, pihaknya merampas syabu, ketamin dan pil erimin 5 yang boleh digunakan seramai 77,280 penagih dadah di Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga termasuk seorang warga asing dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah di Johor ditahan dalam tiga serbuan berasingan, pada Selasa.

Ketiga-tiga suspek berusia 32 hingga 49 tahun ditahan selepas polis menemui pelbagai dadah dan menyita aset bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan yang dijalankan pada pukul 11.15 pagi di sekitar Iskandar Puteri dan Pekan Nanas, Pontian, berjaya merampas pelbagai dadah termasuk syabu, ketamin dan pil erimin 5 yang dianggarkan boleh digunakan seramai 77,280 penagih dadah.

“Modus operandi sindiket yang mula aktif sejak Mac lalu ialah menyewa pangsapuri mewah ‘gated and guarded’ untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

“Turut disita ialah aset sindiket tersebut yang dianggarkan bernilai RM463,598 melibatkan wang tunai, barangan kemas dan enam kenderaan pelbagai jenis,” katanya menurut Bernama.

Menurut Kamarul, saringan awal ke atas kesemua individu terbabit mendapati dua daripadanya positif dadah methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 25 (1) (n).

Beliau berkata, sejak 1 Jan hingga semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor menahan 8,821 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.29 tan dadah bernilai RM11.21 juta serta menyita harta bernilai RM6 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.