‘Recall election’ cara terbaik atasi kelemahan undang-undang anti-lompat parti

‘Recall election’ cara terbaik atasi kelemahan undang-undang anti-lompat parti

Ia boleh menjadi cara terbaik bagi mengatasi kelemahan, masalah yang mungkin dihadapi sesebuah parti jika memecat seorang anggotanya, menurut ahli sains politik.

Di bawah mekanisme “recall election”, pilihan raya kecil boleh tercetus jika 40% pengundi di sesebuah kawasan menandatangani petisyen.
PETALING JAYA:
Seorang ahli sains politik menyokong cadangan bekas menteri undang-undang Azalina Othman Said supaya kelemahan dalam undang-undang anti-lompat parti ditangani.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, cadangan Azalina untuk menyelitkan mekanisme “recall election” boleh menjadi cara terbaik bagi mengatasi kelemahan, masalah yang mungkin dihadapi sesebuah parti jika memecat seorang anggotanya yang juga Ahli Parlimen.

Mengikut rang Undang-undang (RUU) diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ahli Parlimen yang dipecat parti boleh mengekalkan kerusi mereka. Ini bererti parti berkenaan rugi jika mengambil tindakan terhadap seorang Ahli Parlimen.

Satu lagi isu adalah adalah supaya RUU itu tidak menghukum seseorang Ahli Parlimen yang partinya meninggalkan sebuah gabungan secara “en bloc”. Ini dapat dilihat dalam kes Ahli Parlimen Bersatu selepas parti itu keluar dari Pakatan Harapan, atau Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak yang meninggalkan Barisan Nasional.

Di bawah mekanisme “recall election”, pilihan raya kecil boleh tercetus jika 40% pengundi di sesebuah kawasan menandatangani petisyen menarik semula mandat (recall) Ahli Parlimen yang dipecat partinya, atau sekiranya sesebuah parti keluar gabungan.

“Kuasa untuk menghukum mereka yang melompat parti akan terletak di tangan pengundi,” katanya kepada FMT.

Pandangan itu turut disokong Danesh Prakash Chacko dari kumpulan aktivis Tindak Malaysia.

Beliau mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar meneliti RUU ahli persendirian oleh Azalina berkaitan mekanisme “recall” itu, seterusnya “melaksanakan atau mengubah suai supaya menjadi lebih baik”.

Sementara itu, Wong berkata parti politik mungkin boleh mengukuhkan perlembagaan mereka supaya Ahli Parlimen yang berpaling tadah hilang keahlian secara automatik, tetapi masih mengekalkan kerusi parlimen mereka. Susulan itu katanya, pilihan raya kecil perlu diadakan.

DAP merancang melakukan perkara itu, dengan meminda perlembagaannya supaya wakil rakyat yang tidak sealiran pendirian parti berhubung isu asas akan hilang keahlian secara automatik.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa satu kesan negatif akibat tindakan seperti itu, adalah perlembagaan parti terlalu mengekang ahlinya sehingga menyebabkan Ahli Parlimen hilang autonomi seterusnya menjadi “yes men”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.