Saksi utama bicara kes Guan Eng MC 4 hari

Saksi utama bicara kes Guan Eng MC 4 hari

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu mahkamah semalam, beliau menghidap tekanan darah tinggi dan jantungnya berdegup kencang.

Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan saksi pendakwaan ke-23 perbicaraan rasuah Lim Guan Eng, diberi cuti sakit selama empat hari bermula semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli tidak dapat hadir ke perbicaraan rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mengambil cuti sakit (MC) selama empat hari.

Ketika pemeriksaan balas semalam, Zarul yang juga saksi utama pendakwaan memberitahu beliau menghidap tekanan darah tinggi dan jantungnya berdegup kencang.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam prosiding hari ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memaklumkan Zarul tidak sihat.

“Saksi pendakwaan ke-23, Zarul memberitahu kami pagi ini, dia diberi cuti (sakit) selama empat hari bermula semalam,” katanya menurut laporan Malaysiakini.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Lim, Gobind Singh Deo sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas terhadap Zarul.

Susulan itu, hakim Azra Alwi meneruskan perbicaraan dengan saksi pendakwaan ke-30, Tan Gaik Eng, yang merupakan pengarah sebuah syarikat penilaian tanah.

Lim sedang dibicarakan atas dakwaan menggunakan jawatannya sebagai ketua menteri ketika itu untuk meminta balasan berupa 10% daripada keuntungan projek jalan dan terowong dasar laut serta mendapatkan RM3.3 juta rasuah daripada Zarul.

Lim turut menghadapi dua pertuduhan melupuskan tanah milik kerajaan negeri yang bernilai RM208.7 juta secara tidak jujur kepada dua syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.