Lesen vokasional p-panggilan tak sama GDL kenderaan 4 roda, kata Wee

Lesen vokasional p-panggilan tak sama GDL kenderaan 4 roda, kata Wee

Menteri pengangkutan berkata, lesen vokasional itu hanyalah untuk pendaftaran kepada penunggang p-panggilan dan bayaran dikenakan juga hanyalah minimum RM10.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata lesen vokasional itu hanyalah untuk pendaftaran kepada penunggang p-panggilan dan bayaran dikenakan juga adalah minimum iaitu sebanyak RM10.
PUTRAJAYA:
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong menjelaskan lesen vokasional yang akan diperkenalkan kepada penunggang p-panggilan tidak akan menyusahkan sama sekali dan tidak sama seperti lesen kenderaan barangan (GDL), kenderaan empat roda.

Beliau berkata lesen vokasional itu hanyalah untuk pendaftaran kepada penunggang p-panggilan dan bayaran dikenakan juga hanyalah minimum RM10.

“Satu lesen vokasional secara khas akan diperkenalkan untuk p-panggilan tidak sama dengan GDL dijalankan mana-mana kenderaan empat roda yang perlu mengambil kursus khas di pusat memandu.

“Lesen vokasional itu hanya untuk pendaftaran sahaja yang hanya mengambil masa selama tiga jam. Kita juga akan memberi moratorium seperti tidak bayar setahun,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kekeliruan beberapa pihak yang mendakwa Kementerian Pengangkutan ingin menyusahkan penunggang p-panggilan.

Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing kecewa apabila tuntutan mereka bukan saja tidak dipenuhi, malah dibebankan pula dengan cadangan untuk mewajibkan penghantar mempunyai lesen GDL.

Presidennya, Zulhelmi Mansor berkata cadangan itu berbeza dengan 10 perkara yang dituntut semasa sesi dialog bersama Wee pada Isnin lalu

Menurutnya, antara cadangan yang diutarakan demi kebajikan kumpulan tersebut adalah harga lantai untuk caj penghantaran dan pengambilan pesanan.

Dalam pada itu, Wee memberi jaminan pendaftaran untuk mendapatkan lesen vokasional itu bersifat murah dan mudah.

Beliau juga menjelaskan pendaftaran itu perlu bagi memudahkan pihak Kementerian Pengangkutan mendapatkan data penunggang p-panggilan.

“Misalnya nak beri bantuan nanti, kita ada data mereka,” katanya.

Wee juga menafikan dakwaan kenderaan p-panggilan juga perlu membawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Itu hanya imiginasi. Pihak lain nak buat dakwaan saya tidak ada kuasa.

“Saya nak terangkan nama belum tentu lesen GDL. Mungkin akan tukar nama lain,” katanya

Pada Jumaat lalu, kumpulan penghantar makanan melancarkan protes mogok selama 24 jam dan menyerahkan memorandum kepada syarikat penghantar makanan yang didakwanya mengekspotitasi hak kumpulan tersebut.

Susulan daripada itu, Kementerian Pengangkutan memaklumkan akan membentangkan tiga rang undang-undang (RUU) pindaan akta pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi mengawal selia komuniti p-panggilan di negara ini.

Ia membabitkan pindaan bagi Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Wee berkata, jika RUU tersebut diluluskan, pihaknya juga akan mewajibkan setiap penunggang p-hailing mempunyai lesen GDL seperti mana Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) oleh pemandu e-panggilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.