Tak timbul soal MCA keluar BN, kata Wee

Tak timbul soal MCA keluar BN, kata Wee

Presiden MCA berkata parti itu akan terus bersama BN yang ditubuh berasaskan semangat Perikatan pada 1973.

KONVENSYEN MCA NEGERI SELANGOR 2025
Wee Ka Siong menegaskan tidak timbul isu MCA keluar Barisan Nasional (BN) setakat ini.
KUALA LUMPUR:
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata soal meninggalkan Barisan Nasional (BN) tidak berbangkit ketika ini.

Katanya, MCA akan terus bersama BN, yang ditubuhkan berasaskan semangat Perikatan pada 1973.

“BN ditubuhkan berlandaskan kepada semangat Perikatan. Jadi, kita sama-sama asaskan parti (BN). Justeru soal ini (keluar BN) tidak wujud setakat ini,” kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Terdahulu, Presiden Umno, Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya ‘memujuk’ MCA dan MIC tidak merajuk untuk keluar gabungan itu serta kembali berpaut di bawah rumah besar BN.

Katanya, hubungan adik-beradik sudah pasti akan ada yang ‘tergigit’, namun perlu kembali berpaut.

Zahid mengakui walaupun penyertaan Umno dalam kerajaan perpaduan dibuat atas kepentingan negara, ia tidak dapat dinafikan telah mengundang ketegangan dalam BN.

Wee berharap hasrat Umno memperkukuhkan parti menerusi penyatuan Melayu dalam agenda “Rumah Bangsa” akan berhasil kerana ia akhirnya akan memberi impak positif kepada BN secara keseluruhannya.

Katanya, ia wajar dijadikan wadah perjuangan politik meskipun membabitkan mana-mana pihak pernah meninggalkan Umno.

“Jadi, saya rasa ia antara parti sebuah rumah, bukan hanya mencari keyakinan balik, dalam masa yang sama untuk dapatkan sokongan balik.

“Ini adalah Rumah Bangsa yang sepatutnya dijadikan wadah perjuangan dalam konteks mana-mana parti untuk memperkukuhkan parti dan menarik mereka yang keluar sekejap atau sudah mungkin keluar, untuk balik sama-sama berjuang semula.”

Tegasnya, MCA sentiasa terbuka kepada mana-mana pendekatan dan perbincangan yang memberi kesan positif kepada kedudukan BN.

“Untuk Melayu dan Islam, mereka boleh berbincang dalam komuniti, kita sebagai MCA juga sedia berbincang, tidak ada isu.

“Tapi dalam konteks BN, itu gabungan yang lebih besar, jadi kita perlu melihat dari segi kepelbagaian dan realiti politik, di mana ia merupakan masyarakat majmuk.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.