Kerajaan setuju laporan forensik projek LCS dinyahklasifikasikan

Kerajaan setuju laporan forensik projek LCS dinyahklasifikasikan

Bagaimanapun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara terlebih dahulu.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan oleh JKSTUPKK, yang dipengerusikan oleh bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang, akan didedahkan kepada umum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan setuju supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas ketua audit negara, Ambrin Buang juga dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Dalam kenyataan hari ini, Ismail berkata, bagaimanapun proses berkenaan perlu mendapat nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara terlebih dahulu.

“Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April.

“Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Ismail turut memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu itu dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat

Katanya, kerajaan memandang serius isu LCS yang sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menggesa agar siasatan disegerakan sekiranya terdapat bukti kukuh.

“Peguam negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh, dalam kenyataan mahu keputusan menyahklasifikasi laporan berkenaan dilakukan sepenuhnya.

“Bukan seperti yang berlaku terhadap Laporan JKSTUPKK berkaitan Projek AES yang mana banyak maklumat telah dihitamkan dengan nama dan alasan ‘menjaga kepentingan kerajaan’,” katanya.

Kah Wong bagaimanapun memuji langkah Kabinet berhubung nyahklasifikasi itu.

“Ia juga membuktikan bahawa cabang Legislatif mampu memainkan fungsinya yang penting untuk semak dan imbang terhadap cabang Eksekutif dalam suatu sistem demokrasi parlimen yang sihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.