
Tan Gaik Eng memberi keterangan bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada wakil Ewein Land Sdn Bhd pada Jun 2013, memintanya menilai Lot 702 di Bandar Tanjong Pinang, Pulau Pinang.
Ewein Land ialah anak syarikat Ewein Bhd, yang diasaskan oleh ahli perniagaan, mendiang Ewe Swee Kheng.
Tan memberitahu mahkamah, beliau dan kakitangannya pergi ke lokasi untuk mengambil gambar dan membuat pengukuran sebagai sebahagian daripada proses penilaian.
Beliau berkata, mereka menyediakan laporan untuk mewajarkan tanda harga RM135 juta yang diletakkan bagi Lot 702.
Tan juga berkata, beliau menilai bidang tanah kedua pada harga RM165 juta.
“Wakil Ewein menghubungi saya pada Jun 2015 dan meminta saya membuat penilaian ke atas Lot 10012,” tambahnya.
Kedua-dua bidang tanah itu menjadi subjek tuduhan rasuah yang dihadapi bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung projek itu.
Lim didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana dengan curang menyebabkan dua bidang tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.
Dia juga didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminta Pengarah Consortium Zenith Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli 10% bahagian daripada keuntungan projek itu, dan menerima RM3.3 juta dalam bentuk sogokan daripada Zarul.
Ketika Tan disoal oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, sama ada beliau sedar bahawa dua pegawai penilaian tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta juga telah menjalankan penilaian ke atas Lot 702 dan 10012, Tan menjawab bahawa beliau tidak mengetahui perkara itu.
“Ini juga bermaksud kamu tidak sedar bahawa kedua-dua bidang tanah itu telah dinilaikan pada harga RM80 juta oleh (jabatan tersebut)?” tanya Gobind.
Tan berkata, beliau tidak mengetahui tanda harga yang diletakkan oleh jabatan itu.
Mahkamah juga mendengar keterangan daripada dua pegawai penilaian tanah bahawa Lot 702 dinilaikan pada harga RM50 juta dan Lot 10012 pada harga RM30 juta.
Sementara itu, pegawai Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang Norfadilah Kassim turut memberi keterangan hari ini.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau mengendalikan pemindahan hak milik tanah untuk Lot 702 dan Lot 10012 antara Disember 2016 dan Mac 2017.
Tambahnya, Lot 702 dipindah milik kepada Ewein Zenith, manakala Lot 10012 kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd.
Beliau berkata, kedua-dua bidang tanah itu dikelaskan sebagai pegangan kekal.
Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung dari 23 hingga 25 Nov.
Mahkamah juga menetapkan tarikh perbicaraan lanjut pada 12 dan 18 Jan, 9 dan 10 Feb, 13 dan 15 Feb, serta 23 dan 24 Mac tahun depan.
Awal hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah, Zarul tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini untuk disoal balas oleh Gobind.
“Beliau diberi cuti sakit mulai semalam hingga 12 Ogos,” katanya.
Zarul pertama kali menjadi saksi pada 17 Dis tahun lepas.