
Katanya, kerajaan sedang mengambil pendekatan tersusun, berhemah, dan adil dalam menangani isu berkaitan RIBI yang melibatkan tanah milik kerajaan, dengan mengambil kira keperluan komuniti serta kerangka perundangan sedia ada.
“Jabatan Wilayah Persekutuan telah membangunkan pemetaan RIBI tanpa kebenaran mengikut kawasan Parlimen,” katanya di Facebook, selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa RIBI Wilayah Persekutuan.
Dalam pada itu, Yeoh mengumumkan kerajaan akan menubuhkan 11 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen di kawasan masing-masing, bagi menerajui perbincangan bersama pihak terlibat, termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga sedang memperincikan garis panduan berkaitan pengurusan RIBI bagi membantu memastikan pendekatan yang lebih terselaras dan teratur di seluruh negara.
“Mulai hari ini, bagi mengelakkan pertambahan kes pencerobohan baharu serta pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, sebarang pembinaan atau tambahan tidak akan dibenarkan dan akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan mengikut peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.
Katanya lagi, tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti komuniti setempat.