15% peralatan dibeli pukal telah lapuk, Liew bidas CEO LTAT

15% peralatan dibeli pukal telah lapuk, Liew bidas CEO LTAT

Bekas timbalan menteri pertahanan itu tidak menerima alasan bagi pembelian pukal demi menjelaskan dana RM6 bilion yang sudah dibelanjakan bagi projek kapal tempur pesisir (LCS).

Bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong, mempersoal pembelian peralatan sebelum reka bentuk dimuktamadkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas timbalan menteri pertahanan, Liew Chin Tong, membidas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman berhubung kenyataannya mengenai “pembelian pukal” peralatan bagi projek kapal tempur pesisir (LCS).

Beliau berkata, teori pembelian pukal disebut Nazim dianggap “satu penipuan”.

Selain itu, Liew juga enggan menerima alasan bagi pembelian pukal itu demi menjelaskan dana RM6 bilion yang telah dibelanjakan bagi projek LCS.

“Kenapa beli peralatan sebelum reka bentuk dimuktamadkan? Ini bukan main Lego, boleh pasang dan buka suka hati, lebih-lebih lagi, 15% daripada peralatan yang dibeli secara pukal ini telah lapuk dan obsolete (usang),” katanya.

Beliau berkata, pembelian peralatan dibuat sebelum reka bentuk dipersetujui merupakan satu pembaziran terlampau besar.

“Sekiranya, reka bentuk diubahsuai atau ditukar oleh ‘design authority’ dalam proses pengesahan, maka peralatan dan wang yang diguna untuk membeli peralatan memang dibazirkan,” jelas Liew.

Hari ini, Ahmad Nazim mengesahkan pembinaan fizikal LCS sedang dilaksanakan dengan sebahagian besar ‘hull’ (badan) kapal tersebut dibina di limbungan Lumut, pangkalan tentera laut.

Beliau berkata, membuat “tempahan pukal” bagi enam kapal adalah lebih murah, berbanding dengan membeli peralatan secara individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.