Dewan Negara lulus RUU anti-lompat parti

Dewan Negara lulus RUU anti-lompat parti

Seramai 52 ahli Dewan Negara bersetuju dan tujuh tidak hadir menerusi undi belah bahagian hari ini.

RUU anti-lompat parti dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Negara meluluskan rang undang-undang anti-lompat parti melalui undian belah bahagian.

Speaker Dewan Negara, Rais Yatim, berkata seramai 52 ahli Dewan Negara bersetuju dan tujuh ahli Dewan Negara tidak hadir.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 33 ahli Dewan Negara menyertai sesi perbahasan.

Pada 28 Julai lalu, RUU anti-lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, berkata seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju dan 11 Ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Ketika membentangkan bacaan kali kedua di Dewan Negara, Ismail berharap pindaan itu mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Negara atau sekurang-kurangnya 40 ahli.

Katanya, beliau berharap RUU anti-lompat parti disokong dan diluluskan sebulat suara oleh ahli Dewan Negara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“RUU ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Ismail berkata, RUU anti-lompat parti tidak akan terpakai kepada ahli Dewan Negara.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam Jawatankuasa Pilihan Khas selepas mengambil kira beberapa pandangan pihak berkepentingan.

Ketika membentangkan RUU itu, Ismail berkata ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu lantikan negeri dan lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu ketika perbahasan, Senator Arman Azha Abu Hanifah berkata, RUU itu sangat penting dan tepat pada masanya kerana “politik katak” telah “memalukan” negara.

Sementara itu, Senator Susan Chemerai Anding, berkata budaya lompat parti mencetuskan ketidakstabilan politik serta menjadikan rakyat hilang keyakinan terhadap sistem demokrasi negara.

“Mandat rakyat adalah lebih penting daripada apa pun kepentingan politik,” katanya.

Di bawah RUU berkenaan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi mereka jika memilih untuk melompat parti.

Bagaimanapun, pengecualian terhadap RUU berkenaan diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti atau parti yang diwakili dibubarkan dan dibatalkan pendaftaran.

Selain itu, pengecualian juga diberikan kepada Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Ini kerana, RUU berkenaan tidak tertakluk kepada ahli Dewan Negara disebabkan senator adalah lantikan politik menerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukan menerusi pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.