
“BN ini merupakan parti yang keputusannya dibuat secara konsensus, semua pihak atau parti komponen dalam BN bersetuju, baru boleh. Tunggulah sehingga mesyuarat diadakan.
“Perbincangan akan diadakan semasa mesyuarat tersebut dan semua pihak mesti bersetuju, kalau ada satu pihak tidak bersetuju, ia tidak akan boleh dilakukan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Pengganti Presiden PBM, Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata, pihaknya masih menantikan jawapan BN berhubung permohonan PBM menyertai gabungan itu menjelang pilihan raya umum ke-15.
Dalam pada itu, Mohamad mengesahkan Zuraida menemuinya awal bulan lalu bagi menyuarakan hasrat PBM dan beliau memintanya menulis surat kepada pengerusi BN untuk perkara itu dipertimbangkan dalam mesyuarat.
Selain PBM, katanya, beberapa parti lain turut menyuarakan hasrat sama.
“Ada dari semasa ke semasa, parti-parti yang ditubuhkan menyatakan hasrat untuk menganggotai BN, tetapi kebanyakannya kami minta untuk menjadi ‘Friends of BN’ terlebih dahulu. Kebanyakan parti ini tiada wakil rakyat, tetapi PBM ini lain sedikit kerana mereka mempunyai wakil rakyat.
“Pertimbangan daripada pelbagai sudut mesti diperhalusi dan kami juga tidak mahu ada pihak lain rasa tidak senang hati jika kami menerima sesuatu parti menjadi anggota BN. Jadi, ia akan dibahas dan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN.”
Beliau berkata, BN sentiasa menghargai sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk parti yang berhasrat menyertai gabungan itu.
“Sokongan semua pihak amat penting, sama ada mereka mahu menjadi anggota BN ataupun tidak, itu cerita lain. Cerita sokongan itu sudah lama, seperti parti dalam ‘Friends of BN’, ada yang sudah 30 tahun menjadi anggota.
“Tidak timbul soal kami tidak perlukan sokongan sesiapa, tetapi soalnya menjadi anggota BN itu mesti dapat kelulusan sebulat suara, itu kadang-kadang yang menjadi kesulitan untuk BN buat keputusan kerana masing-masing parti ada kepentingannya.
“Tetapi, sokongan rakan-rakan walaupun tidak menjadi ahli penuh BN, amat kami raikan. Soal sama ada mereka akan diberi peluang mewakili BN di mana-mana kerusi, itu cerita lain, itu boleh dipertimbangkan sekiranya ada kerusi-kerusi yang sesuai diwakili oleh mereka.”