
Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Rafique Rashid Ali, berkata peperangan berkenaan berlaku di kawasan Melayu tegar yang mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) sukar menembusinya.
“Pendek cerita di kawasan Melayu tegar. Di kawasan-kawasan yang PKR, DAP, PH tidak boleh tembusi. Di kawasan-kawasan PH bergantung pada Tun Mahathir
semasa kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam kenyataan.
Pembentukan gabungan berteraskan Melayu mengundang kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, yang mengatakan pendekatan berbilang kaum lebih diperlukan bagi menyelesaikan isu membelanggu negara.
Rafique berkata, tidak sampai 24 jam GTA diumumkan, wujud suara “sumbang” menyindir dan merendahkan inisiatif dilakukan. Beliau turut mempersoalkan mengapa takut dengan gabungan itu walaupun berkongsi sasaran sama.
Katanya, kesanggupan GTA untuk menjadi lawan utama Umno menunjukkan bahawa tiba masanya rakyat benar-benar menyokong gerakan ini.
“Parti-parti Melayu/Islam seperti PAS dan Bersatu telah pun tewas. Mulanya lawan Umno, kini kawan Umno. Dibeli serta dibuai dengan jawatan dan pangkat,” katanya.
“GTA juga jelas ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosio-ekonomi dan pendidikan. Kembali menjadi Harimau Asia juga salah satu matlamat
penubuhannya. Bukankah itu juga harapan parti-parti pembangkang?” soalnya.
Katanya, walaupun gabungan berkenaan berteraskan Melayu, Rafique menegaskan, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.
“Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis.”
Khamis lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan GTA merangkumi Pejuang Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Mahathir berkata, gerakan itu turut disertai NGO dan ahli akademik dan profesional meletakkan sasaran menukar kerajaan melawan Umno pada pilihan raya umum akan datang.