
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, berkata perancangan itu adalah untuk meningkatkan keupayaan pertahanan, sekali gus memastikan kepentingan strategik negara di perairan Sarawak terus terpelihara daripada sebarang ancaman.
“Demi memastikan usaha memelihara kedaulatan perairan di Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih holistik, Markas Wilayah Laut Timur (MAWILLA) 4 dirancang dibina secara berfasa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Abang Johari Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di Petra Jaya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang; Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Mardzuki Muhammad.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, pada ketika ini anggota dan aset Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya Rejimen Sempadan (RS) sedang diatur gerak agar ia mencukupi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Ini melibatkan keberadaan dan siap siaga di sempadan Sarawak-Kalimantan serta Sarawak-Brunei, termasuk menambah 12 Pos Imbangan baharu, lebih-lebih lagi mengambil kira perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan kelak.
“Perkara ini juga akan dibincangkan secara terperinci bersama rakan sejawat saya Menteri Pertahanan Republik Indonesia Prabowo Subianto semasa mempengerusikan bersama Mesyuarat ke-42 General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.