
Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai mengesahkan tangkapan itu ketika dihubungi FMT.
“Suspek ialah seorang ahli politik,” katanya.
FMT difahamkan ahli politik itu ialah ketua cawangan sebuah parti komponen Barisan Nasional di Kuala Lumpur.
Ini kali kedua Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia, M Mani Maran diserang. Pada 27 Julai lalu, beliau cedera di belakang lehernya selepas diserang seorang “penghendap” dengan pisau.
Beliau kemudiannya menerima 16 jahitan di hospital susulan serangan di Kajang.
Dalam laporan polisnya ketika itu, Mani Maran mendakwa penyerang ialah individu sama yang mendekatinya di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya selepas membuat laporan terhadap seorang anggota Jemaah Menteri pada 22 Julai lalu.
Anggota Jemaah Menteri itu dikatakan terlibat dalam tuntutan palsu dan pelesapan dana daripada program insentif pengambilan pekerja PenjanaKerjaya.
Dalam kejadian petang semalam, suspek dikatakan menyerang mangsa di tangan kirinya dengan pisau, selepas bertengkar di luar sebuah salun rambut di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Beh dalam kenyataan hari ini berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan malam tadi dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul sementara menunggu polis mendapatkan perintah reman.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beh berkata, suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan tiga kesalahan berlainan.
M Mani Maran berkata, beliau kini berada di Hospital Kuala Lumpur menunggu pembedahan akibat kecederaan 3cm di tangan kirinya.
“Saya tidak takut untuk menyuarakan ketidakadilan demi rakyat dan paling penting, untuk komuniti India yang keliru dan diambil kesempatan oleh ahli politik India.”