
Katanya, gesaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim supaya kerajaan menghentikan projek LCS fasa enam yang ketika ini belum dimulakan hanya bermotif politik.
Beliau berkata, ini kerana kenyataan Anwar itu bercanggah keputusan dibuat Pakatan Harapan (PH) ketika mereka memerintah selama 22 bulan.
Katanya, ketika itu PH memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan LCS bagi mengukuhkan keupayaan operasi tentera laut.
“Kenyataan Anwar Ibrahim itu jelas berkisar kepada pertimbangan dan mainan politik semata-mata kerana jika dihentikan (projek LCS), ia bercanggah dengan pendirian ketika mereka (PH) memerintah.
“Berdasarkan laporan yang saya terima, kenyataan Anwar itu menimbulkan kemarahan ramai pihak. TLDM akan marah jika projek itu dibatalkan (kerana membabitkan aset mereka) dan tindakan itu juga akan menyebabkan 400 vendor gulung tikar dengan 90% daripada jumlah vendor itu adalah kalangan veteran tentera,” katanya menurut Harian Metro.
Semalam, Anwar dalam kenyataan, menggesa kerajaan menghentikan projek perolehan LCS fasa enam susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Sehingga kini, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan walaupun RM6.08 bilion telah dibayar bagi tujuan perolehan aset berkenaan.
Hishammuddin ketika mengulas lanjut, berkata tindakan segera perlu diambil bagi memastikan negara tidak berdepan kerugian sebanyak RM500 juta lagi jika projek berjalan, selain ia sudah menanggung kos besar sebelum ini yang didakwa tidak membuahkan hasil.
Menurutnya, apa yang penting adalah memberi tumpuan terhadap tempoh enam bulan pemulihan projek LCS seperti diputuskan Kabinet dan beliau sedia bertanggungjawab serta tidak berkompromi dengan pihak terbabit dalam kegagalan projek itu.
“Yang salah tetap salah, tidak kira orang politik atau pihak syarikat. Jika ada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah, saya percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah, sedang dan akan mengambil tindakan,” katanya.