
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, pengalaman pemimpin lain dalam gagasan itu amat kurang berbanding Mahathir, justeru beliau percaya muafakat terbaharu itu tidak akan tahan lama.
Beliau juga tidak menolak penubuhan gagasan itu sebagai helah Mahathir untuk kekal aktif dan dihormati dalam usia senjanya.
“Saya tidak melihat cubaan Mahathir ini sebagai cara halus beliau untuk memecahkan perpaduan orang Melayu atau apa-apa, sebaliknya lebih kepada usaha Ahli Parlimen Langkawi itu kekal aktif dan dihormati dalam usia senjanya.

“Pejuang memang ketandusan pemimpin, pengalaman serta gaya pentadbiran antara Mahathir dengan pemimpin parti itu mahupun gagasan baharu terlalu jauh. Hasilnya akan ‘meleset’ apabila tiba masanya Mahathir melabuhkan tirai hidupnya di atas muka bumi ini,” katanya kepada FMT.
Mahathir yang juga pengerusi Pejuang kini meniti usia 97 tahun. Semalam, beliau mengumumkan penubuhan gagasan baharu itu yang bertujuan memperjuangkan kaum Melayu untuk mempertahankan Malaysia.
Gabungan itu dianggotai Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Mahathir selaku pengerusi gerakan itu berkata, gabungan terdiri daripada parti Melayu, NGO dan orang perseorangan itu akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 sebagai sebuah gerakan dan meletakkan calon mereka sebagai usaha menumbangkan kerajaan sedia ada.
Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, empat parti yang membentuk gagasan itu dilihat sukar menyokong aura Mahathir kerana kurang pengaruh dalam politik dan tidak mempunyai sokongan besar rakyat.
“Bagi saya, Mukhriz Mahathir (presiden Pejuang) atau Ibrahim Ali (presiden Putra) sekali pun tidak ada kekuatan menarik sokongan dalam hal ini. Boleh dianggap aura Mahathir seperti aura Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) yang mempunyai aura menarik sokongan ke gagasan baharu.
“Jadi, dalam hal ini, aura Mahathir masih relevan, cuma masalah ia dibawa Pejuang dan pengaruh politiknya minimum atau mungkin tiada, kalau kita tengok dalam pilihan raya negeri Johor,” katanya.
Mac lalu, Pejuang gagal merebut sebarang kerusi daripada 42 kerusi DUN yang ditandinginya, sekali gus memberi petanda malap untuk parti pimpinan veteran politik itu.