Tambang feri Langkawi naik hingga RM3.50 mulai esok

Tambang feri Langkawi naik hingga RM3.50 mulai esok

Harga tambang ditawarkan turut berbeza bagi warganegara asing yang sebelum ini membayar tambang sama dengan penduduk tempatan.

Kali terakhir kenaikan tambang feri Langkawi adalah 15 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tambang feri ke Pulau Langkawi dinaikkan antara RM3 hingga RM3.50 mulai esok susulan kenaikan pelbagai kos operasi.

Harga tiket feri baharu bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi adalah RM21 untuk dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak, daripada masing-masing RM18 dan RM13.

Manakala bagi laluan Kuala Kedah-Langkawi pula, harga untuk dewasa RM26.50 berbanding RM23 sebelum ini, bagi kanak-kanak RM20.50 berbanding RM17 sebelum ini.

Menurut kenyataan Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, harga tambang ditawarkan turut berbeza bagi warganegara asing yang sebelum ini membayar tambang sama dengan penduduk tempatan.

Tambang warga asing bagi laluan Kuala Perlis adalah RM27 bagi dewasa dan RM19.50 bagi kanak-kanak, manakala untuk laluan Kuala Kedah adalah RM34.50 bagi dewasa serta RM25.50 bagi kanak-kanak.

Pengurus sumber manusia dan operasinya, Baharin Baharom, berkata, kali terakhir kenaikan tambang feri Langkawi adalah 15 tahun lalu.

“Kedua-dua laluan feri itu merupakan feri yang mempunyai tambang termurah di negara, iaitu pada 86 sen bagi setiap batu nautika (Kuala Perlis) dan 77 sen bagi setiap batu nautika (Kuala Kedah).”katanya.

Beliau berkata, harga diesel industri adalah sebanyak 83 sen setiap liter pada 2007 telah melonjak kepada RM4.17 setiap liter.

“Kami juga tidak boleh lari daripada kenaikan gaji selaras dengan dasar gaji ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.