
Bagaimanapun, beliau menafikan penarikan diri itu berpunca daripada syarat baharu yang diperkenalkan kerajaan pada 11 Ogos tahun lalu.
Katanya, antara faktor penarikan diri itu akibat ketidakmampuan untuk memberikan komitmen kepada program terbabit, alasan peribadi serta kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan tahap ekonomi peserta.
“Peserta MM2H sedia ada tidak tertakluk kepada syarat baharu, kecuali berkaitan tempoh pas baharu, fi proses dan bayaran untuk fi pas RM500 yang akan dikenakan kepada peserta selepas tempoh pas sedia ada tamat,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Kerajaan mengaktifkan kembali program MM2H pada Ogos 2021 dengan penambahan beberapa syarat baharu bagi menarik peserta berkualiti tinggi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Antaranya, peserta wajib berada di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari kumulatif dalam setahun, mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding hanya RM10,000 sebulan sebelum ini.
Mereka juga perlu mempunyai akaun deposit tetap minimum RM1 juta, dengan 50% pengeluaran maksimum dibenarkan bagi tujuan membeli hartanah atau perbelanjaan kesihatan dan pendidikan anak.
Sebelum itu, peserta hanya perlu mempunyai RM300,000 dalam deposit tetap, manakala nilainya dikurangkan kepada RM150,000 bagi peserta berusia lebih 50 tahun.
Hamzah berkata, 267 permohonan baharu diterima Jabatan Imigresen untuk menyertai program MM2H.
“Sehingga kini, sebanyak 53,356 pemegang pas MM2H dan program Silver Hair (program bagi warga asing yang sudah mencapai usia persaraan dan memilih Malaysia sebagai tempat tinggal) masih aktif.”
Hamzah menjawab pertanyaan Hannah Yeoh (PH-Segambut) berhubugn status program MM2H, peserta yang keluar daripada program itu akibat perubahan syarat serta jumlah kehilangan hasil kerajaan dalam setahun berbanding sebelum perubahan syarat.