Sindiket tipu tawar kerja di laman sosial tumpas

Sindiket tipu tawar kerja di laman sosial tumpas

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kediaman di Cyberjaya, pada Selasa dan menahan lima individu termasuk warga asing.

Ketua Polis Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof (dua kiri) menunjukkan barang rampasan hasil serbuan di sebuah kediaman di Cyberjaya pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian RM843,996 selepas menyerbu sebuah kediaman di Cyberjaya, pada Selasa.

Dalam serbuan itu, lima individu berumur 17 hingga 32 tahun termasuk seorang warga asing ditahan selain lima komputer riba dan lima telefon bimbit turut dirampas.

Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata sindiket itu dipercayai beroperasi beberapa bulan lalu dengan mangsa perlu menjadi jurujual produk dengan tawaran gaji lumayan dan komisen sampingan.

Katanya, modus operandi sindiket adalah membuat iklan tawaran kerja di Facebook dan Instagram, dan apabila terdapat mangsa memohon kerja, sindiket akan memberi tugasan untuk menjual produk dalam talian yang dicipta oleh sindiket.

“Bagi setiap produk berjaya dijual, mangsa kononnya akan menerima 10% komisen dan ia diterima sehingga tiga kali pembayaran,” katanya pada sidang media.

Wan Kamarul berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila mangsa kebanyakannya terdiri pelajar universiti mendakwa, tidak menerima komisen seperti dijanjikan manakala pelanggan membeli juga tidak menerima sebarang produk.

Beliau berkata, sindiket itu menggunakan 22 akaun keldai bagi transaksi penjualan produk tidak wujud, serta melibatkan 31 mangsa yang terdiri daripada ‘rekrut dan pelanggan’ hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM843,996.

“Kerugian tertinggi direkodkan adalah melibatkan seorang pelajar universiti dari Cheras iaitu sebanyak RM49,000 serta 22 akaun keldai berkenaan juga dalam proses dibekukan dan pemilik akaun itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.

Semua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.