Pakat kaut untung tipu timbangan emas, wanita, pekerja kedai ditahan

Pakat kaut untung tipu timbangan emas, wanita, pekerja kedai ditahan

Polis mendapati lebih 150 transaksi dilakukan dan pekerja itu memperoleh RM3,000 daripada suspek bagi setiap transaksi dilakukan.

Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim menunjukkan rampasan barang kemas susulan penahanan dua suspek pada sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komplot jenayah antara seorang wanita dan pekerja kedai menjual barang kemas untuk mencuri emas terbongkar selepas ditahan polis semalam.

Menerusi operasi bermula 7 pagi hingga 9 malam itu, suspek utama iaitu pemborong emas dikenali sebagai Sally, 42, ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Puteri Puchong.

Turut ditahan adik lelakinya serta tujuh individu iaitu pemilik dan pekerja kedai pajak gadai di sekitar Seksyen 25, Seksyen 17 dan Seksyen 9, Shah Alam.

Semuanya berusia 25 hingga 70 tahun.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata jenayah itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai emas di Seksyen 7 pada 31 Julai lalu.

Katanya, berdasarkan laporan pemilik kedai emas itu mendapati berlaku kekurangan stok emas kira-kira 1.5kg dianggarkan bernilai lebih RM1 juta selepas audit dilakukan.

“Hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis itu mendapati seorang pekerja wanita sentiasa berurusan dengan seorang pemborong emas bernama Sally.

“Berdasarkan semakan terdapat urusan transaksi yang mencurigakan, apabila pekerja ini memberikan timbangan berlebihan kepada Sally iaitu 300g hingga 500g bagi setiap transaksi dilakukan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, 1g emas dianggarkan bernilai RM252 dengan kerugian bagi berat timbangan satu transaksi mencecah antara RM50,000 hingga RM75,000.

Katanya, Sally dipercayai terbabit dalam kegiatan curi timbangan emas sejak tahun lalu, tetapi mula berurusan dengan pekerja wanita itu sejak Jun lalu.

“Polis mendapati lebih 150 transaksi dilakukan, dan pekerja wanita itu akan memperoleh RM3,000 daripada suspek bagi setiap transaksi dilakukan,” katanya.

Iqbal berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM414,700, 80 barang kemas pelbagai jenis, 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Harrier dan pelbagai dokumen berkaitan termasuk resit pajak gadai.

“Semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan tiga suspek iaitu Sally, adik lelakinya dan pekerja kedai emas itu kini direman antara empat dan enam hari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.