KKM timbang sewa lebih banyak peralatan perubatan demi jimat wang

KKM timbang sewa lebih banyak peralatan perubatan demi jimat wang

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia bagi memastikan peralatan perubatan digunakan sejajar perkembangan teknologi.

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan memperuntukkan RM19.6 juta untuk melaksanakan kaedah sewaan peralatan perubatan selama lima tahun sejak 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan untuk meluaskan kaedah penggantian peralatan secara sewaan bagi mengurangkan beban perbelanjaan modal secara “one-off”.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kaedah itu juga akan memastikan peralatan perubatan hospital dalam keadaan optimum dan mengikut standard ditetapkan kerana penyelenggaraan peralatan itu akan dilakukan pengeluar.

“Melalui kaedah ini juga, KKM akan dapat memastikan peralatan perubatan yang digunakan adalah selari dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Khairy berkata, kerajaan memperuntukkan RM19.6 juta untuk melaksanakan kaedah sewaan selama lima tahun sejak 2020.

“Peralatan yang terlibat adalah 300 unit katil unit rawatan rapi (ICU), 33 meja pembedahan am dan ortopedik, 20 mesin imbasan x-ray, lapan unit CT-Scan, lapan unit MRI dan 40 unit power drill ortopedik.”

Beliau menjawab pertanyaan Hassan Ramli (PN-Dungun) berhubung tindakan jangka pendek dan panjang KKM bagi menggantikan peralatan di hospital yang semakin usang dan daif di seluruh negara ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.