
Mahathir selaku pengerusi GTA berkata, gerakan itu akan menentang kerajaan yang disifatkan sebagai mementingkan diri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, nama itu dipilih kerana ia gambaran suatu perjuangan yang cintakan tanah air.
“Ini adalah satu gerakan rakyat untuk menentukan nasib mereka menjadi lebih baik dengan menukar kerajaan yang utamakan kepentingan diri, kita akan berjuang untuk rakyat, negara dan agama Islam menjadi agama orang Melayu.
“Itulah tujuan kita dan nama ini sudah dipersetujui walaupun kita tak boleh tentukan sama ada ia akan diluluskan kerajaan atau tidak,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan dalam talian.
Mahathir berkata, gabungan itu terdiri daripada empat parti Melayu – Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), NGO serta orang perseorangan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kewujudan GTA bukan untuk menidakkan hak orang bukan Melayu, sebaliknya bagi membela nasib orang Melayu terutama di kawasan luar bandar.
“Itulah sebabnya kita adakan gerakan orang Melayu melibatkan parti politik, NGO Melayu dan orang perseorangan daripada ahli profesional, ahli akademik dan sebagainya.
“Kita menjemput semua orang Melayu yang rasa curiga dengan masa depan mereka supaya menyertai kita atau sekurang-kurangnya menyokong perjuangan kita,” katanya.
Mahathir berkata, GTA akan menghantar permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) esok.
Katanya, gerakan itu akan bertanding di 120 kerusi majoriti Melayu yang diharapkan mampu menang pada PRU depan.
Ketika ditanya siapa calon perdana menteri bagi gerakan itu, Mahathir berkata “calon perdana menteri akan kira selepas menang, sekarang belum menang lagi”.