
Pertubuhan Green Lung Malaysia dalam kenyataan berkata, penangguhan RUU itu beri ruang dan masa kepada pihak industri berkaitan untuk campur tangan serta mempengaruhi proses penggubalan polisi kawalan tembakau.
“Perkara ini sangat membimbangkan dan pihak kami menggesa agar jawatankuasa bebas daripada sebarang campur tangan industri tembakau dan vape yang hanya mahu merealisasikan agenda mereka iaitu memastikan perniagaan mereka tidak terjejas,” kata presidennya, Ho Rhu Yann.
Ho berkata, RUU dibentangkan itu adalah berlandaskan kajian mencukupi dan perlu dilaksanakan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagaimanapun, katanya, terdapat Ahli Parlimen yang tetap ingin menyangkal fakta saintifik dan kenyataan dibentangkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
“Perdebatan berkaitan isu hak asasi yang digunakan oleh sesetengah Ahli Parlimen tidak selari dengan pandangan pakar-pakar Perlembagaan Persekutuan bahawa pelaksanaan ‘Generational End Game’ (GEG) ini tidak bertentangan dengan hak asasi mereka.
“Hak asasi berkaitan merokok bukanlah hak mutlak seseorang untuk memudaratkan kesihatan diri sendiri, termasuk kesihatan orang berada di sekeliling,” katanya.
Sehubungan itu, Ho menggesa agar RUU berkenaan dibentangkan semula, seterusnya diluluskan pada sidang Parlimen, Oktober depan.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang NV Subbarrow, berkata penangguhan kelulusan RUU berkenaan menunjukkan terdapat Ahli Parlimen yang tidak prihatin dengan desakan rakyat supaya ianya diluluskan.
Katanya, fakta diutarakan sesetengah Ahli Parlimen dalam perbahasan berhubung RUU berkenaan juga “tidak masuk akal”.
“Hak rakyat untuk merokok, hak kebebasan asasi dimainkan dan yang lebih teruk hak untuk merokok dibandingkan dengan hak menggugurkan kandungan.
“Adakah ini tahap pemikiran Ahli Parlimen yang telah diberikan amanah untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Subbarrow berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap pembuat polisi untuk memberikan perlindungan optimum dalam memberikan hak kepada golongan majoriti pengguna yang tidak merokok untuk menghirup udara segar tanpa pencemaran bahaya asap dan wap produk merokok.