Lori muatan tin sardin terbalik, trafik terhenti 3km

Lori muatan tin sardin terbalik, trafik terhenti 3km

Muatan tin sardin yang pecah bertaburan atas semua lorong di tempat kejadian menyebabkan jalan ditumpahi kuah berwarna merah.

Lori membawa muatan tin sardin terbalik di kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh. (Gambar Bernama)
IPOH:
Laluan di kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Terowong Menora ke Ipoh terhalang akibat kemalangan lori membawa muatan tin sardin yang terbalik, tengah hari tadi.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi laman Twitter, memaklumkan kejadian pada kira-kira 12.43 tengah hari tadi menyebabkan semua lorong terhalang dan pengguna lebuh raya diminta menggunakan laluan alternatif.

“Trafik terhenti 3km. Semua kenderaan dari utara yang ingin ke selatan telah dilencongkan keluar ke Plaza Tol Kuala Kangsar.

“Laluan kontra kemudian diaktifkan bermula KM 267.0 hingga KM 265.1 arah utara dan trafik perlahan. Patuhi arahan papan tanda,” ciapnya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati muatan tin sardin yang pecah bertaburan atas semua lorong di tempat kejadian menyebabkan jalan ditumpahi kuah berwarna merah dan kerja mengalihkan lori terbabit masih dijalankan ketika ini.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi berkata laluan ke arah selatan ditutup sepenuhnya berikutan kemalangan melibatkan lori yang terbalik melintang di atas jalan dan akan dibuka semula selepas insiden selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.