
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi kenyataan di Facebook berkata, keadaan kesihatan anak sulungnya itu menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa dan dilihat mampu buka mata walaupun hanya seketika.
“Nampak Ainul buka mata sekejap. Ainul ni kuat betul. Dalam keadaan separa sedar, dia masih ada tenaga melawan. Ainul memang seorang ‘fighter’. Semangat juangnya tinggi. Walau apa pun yang berlaku, semua dengan izin-Nya.
“Doakan supaya Ainul dapat keluar dari zon kritikal dan sembuh dari jangkitan ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin,” katanya.
Safiuddin berkata, Ainul yang kini berusia empat tahun masih direhatkan serta memerlukan bantuan ventilator di unit rawatan rapi pediatrik (PICU).
“Doktor dan team (pasukan) masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk (Nauzubillahiminzalik). Untuk masa sekarang, usaha doktor dan pasukan yang merawatnya semalam dapat turunkan beberapa bacaan yang kritikal.
“Alhamdulillah syukur. Terima kasih doktor dan jururawat. Sekarang Ainul masih direhatkan, masih perlu bantuan ventilator dan dia masih dirawat di unit jagaan rapi.
“Terima kasih tak terhingga buat semua yang sentiasa mendoakan. Kami sekeluarga sangat menghargainya,” katanya.
Terdahulu, kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom, bagi membuang tumor seberat 200g daripada mulut ketika kanak-kanak itu berusia 11 bulan, pada 2019.