Bincang dulu sebelum pindah polis ‘bermasalah’ ke Sabah, kata Hajiji

Bincang dulu sebelum pindah polis ‘bermasalah’ ke Sabah, kata Hajiji

Ketua menteri Sabah berkata sepatutnya polis berbincang dengannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri terlebih dahulu.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaannya memandang serius tindakan penghantaran anggota polis ‘bermasalah’ ke negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata polis sepatutnya memaklumkan dan berbincang terlebih dahulu sebelum memindahkan anggotanya yang “bermasalah” ke negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius tindakan polis memindahkan sembilan anggota berkenaan selepas dipercayai terbabit kes peras ugut.

Katanya, tindakan menghantar anggota terbabit bukan sahaja ke Sabah malah Sarawak dibuat tanpa mendapat pandangan kerajaan negeri terlebih dulu.

Menurutnya, polis sepatutnya memaklumkan dan berbincang dengannnya sebagai pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan itu dilaksanakan.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan berkenaan terhadap anggota mereka,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji yang ketika ini sedang menunaikan umrah berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, dilaporkan berkata sembilan anggota yang disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini, telah ditempatkan bertugas di Sabah dan Sarawak.

Dilaporkan, anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ditahan pada Jumaat.

Siasatan terhadap mereka masih berjalan.

Semalam, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berang dengan tindakan polis menukar anggota terbabit ke negeri berkenaan.

Katanya, kedua-dua negeri berkenaan “bukan tong sampah” untuk menerima pegawai bermasalah.

“Tolonglah kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak bukannya tong sampah.

“Sudahlah kami tertinggal dari segi infrastruktur, takkanlah dari segi perkhidmatan pun kamu kasi kami orang yang bermasalah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.