Warga Pakistan terlepas tali gantung akibat kesilapan hakim

Warga Pakistan terlepas tali gantung akibat kesilapan hakim

Mahkamah Rayuan bersetuju dengan peguam bahawa hakim perbicaraan gagal membuat keputusan afirmatif atas pemilikan itu sebelum mengarahkan pembelaan diri.

Said Nabi sebaliknya dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan kerana memiliki syabu. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Seorang warga Pakistan terlepas hukuman gantung kerana mengedar methamphetamine selepas Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan terkhilaf dalam undang-undang.

Sebaliknya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan ke atas Said Nabi, 31, kerana memiliki 136.73g dadah itu yang lebih dikenali sebagai syabu.

Peguam Ridha Abdah Subri berhujah hakim perbicaraan gagal membuat keputusan afirmatif atas pemilikan dadah itu sebelum mengarahkan tertuduh membela diri.

Panel itu yang diketuai Hanipah Farikullah bersetuju dengan hujah Ridha.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Ahmad Nasfy Yasin dan Nordin Hassan.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali turut mengakui terdapat kesilapan undang-undang yang dilakukan hakim menyebabkan pertuduhan dikurangkan kepada pemilikan dadah.

Said, yang bekerja sebagai buruh, melakukan kesalahan itu di Bandar Sunway, Selangor kira-kira 7.30 malam 7 Feb 2017.

Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan polis menjalankan intipan ke atas Said dan menemui dadah itu dalam peket plastik lutsinar ketika melakukan pemeriksaan badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.