Sistem baharu punca kemasukan pekerja asing lewat, kata Zuraida

Sistem baharu punca kemasukan pekerja asing lewat, kata Zuraida

Menteri perusahaan perladangan dan komoditi bagaimanapun yakin kelewatan itu akan kembali berjalan lancar dan tidak perlahan lagi bulan ini.

Zuraida Kamaruddin berkata sistem ambilan pekerja asing baharu, menerusi Foreign Workers Centralized Management System menjadi punca kelewatan kemasukan pekerja asing sektor perladangan.
KUALA LUMPUR:
Kelewatan kemasukan pekerja asing dalam sektor perladangan disebabkan sistem baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin.

Beliau bagaimanapun yakin kelewatan itu akan kembali berjalan lancar dan tidak perlahan lagi bulan ini.

“Semenjak pasca Covid-19, kita telah membuka sempadan dan kerajaan telah membawa masuk pekerja asing. Namun demikian, kemasukan pekerja asing masa ini amatlah perlahan lagi, belum lancar.

“Kelewatan kemasukan pekerja asing ini oleh kerana sistem baharu yang baru diperkenalkan melalui (sistem) Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS),” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Katanya, sistem baharu pengambilan pekerja asing itu diyakini akan lebih terkawal dan tersusun.

“Kalau sistem ini dapat dilaksanakan dengan sempurnanya, Insya-Allah pekerja-pekerja yang telah masuk dalam sistem ini tidak boleh lompat-lompat kerja, tidak boleh tukar-tukar kerja, tak boleh lari ke sana ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kementerian itu menyatakan penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk mengatasi masalah kekurangan serta kebergantungan kepada tenaga buruh asing dalam sektor perladangan, khususnya sawit.

Sebelum itu, Salim berkata sektor sawit telah mengalami kerugian berjumlah RM21 bilion akibat kekurangan tenaga kerja asing dan bagi tempoh lima tahun pertama, industri sawit turut mencatatkan kerugian mencecah RM10.46 bilion.

Katanya, lebih membimbangkan, angka kerugian itu dijangka terus meningkat kepada RM28 bilion pada penghujung tahun ini sekiranya isu tenaga kerja tidak menemui jalan penyelesaian secepat mungkin.

“Kementerian perlu memainkan peranan dengan mendesak Kementerian Sumber Manusia supaya isu tenaga kerja asing ini diselesaikan segera kerana lebih lama dibiarkan, lebih banyak pengusaha sawit dan getah di luar bandar menanggung kerugian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.