
Ini mengakibatkan berlaku kesesakan jalan raya selain terdapat kenderaan terperangkap dalam banjir.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataan mengesahkan, pihaknya menerima laporan berkaitan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) Johor, Mohd Ridhwan Othman, berkata pihaknya juga menerima aduan ancaman banjir di Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan di perkarangan HSA di Johor Bahru.
Menurutnya, perkara itu menimbulkan kesulitan kepada pengunjung dan pesakit yang berurusan di hospital.
Difahamkan banjir kilat juga melanda Kampung Muhamad Amin di Nong Chik sehingga air paras pinggang, Jalan Pantai Lido Menghala ke Pusat Bandar, Jalan Mahmodiah di hadapan Restoran Yasin dan Jalan Seri Pelangi Menghala ke Stulang Laut.
Seorang penduduk, Rahman Abdullah, 60, berkata dia bersama ahli keluarga terperangkap dalam kesesakan hampir sejam selepas bertandang ke bandar raya itu kerana ada urusan.
“Hujan lebat bermula 12 tengah hari, namun kami bernasib baik kerana kenderaan masih boleh bergerak secara perlahan di Jalan Wong Ah Fook walaupun laluan dinaiki air.
“Kami juga difahamkan laluan di Jalan Yahya Awal dan Jalan Ayer Molek turut diancam banjir kilat hingga mengakibatkan kesesakan,” katanya menurut Harian Metro.