5 mengaku salah, 3 minta bicara berkait insiden gaduh di kedai makan

5 mengaku salah, 3 minta bicara berkait insiden gaduh di kedai makan

Mereka didakwa di mahkamah selepas terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Ibai, minggu lalu.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,800 dan menetapkan 4 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Lima lelaki mengaku bersalah, manakala tiga lagi minta dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai makan di Kuala Ibai, minggu lalu.

Tertuduh, Lee Soon Li, 24; Muhammad Adam Mikhail, 27; S Peter Gumbang, 25; Harith Iskandar Rosdi, 26; dan Sia Wei Jun, 23, mengaku bersalah, manakala tiga lagi yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ialah Nurul Shahrizal Mohd, 41; Mohd Kazman Ishak, 36, dan Mohd Saddam Ishak, 31.

Kesemua tertuduh didakwa secara bersama melakukan gaduh gempar di hadapan sebuah restoran di Kuala Ibai pada 8.15 malam, 28 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Majistret membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,800 seorang dan menetapkan 4 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Mohd Ridhuan Mohina Din.

Sebelum ini tular di media sosial satu klip video berdurasi 23 saat yang memaparkan pergaduhan di restoran berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.