RUU generasi penamat: Kerajaan digesa pastikan ada semak dan imbang

RUU generasi penamat: Kerajaan digesa pastikan ada semak dan imbang

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa Ahli Parlimen menyokong RUU tersebut pada peringkat dasar, tetapi mencadangkan pindaan pada peringkat jawatankuasa.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok, yang bertujuan melarang penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir kesihatan menggesa Putrajaya memastikan semak dan imbang mencukupi bagi mengelakkan penguatkuasaan yang tegas atau pencabulan hak asasi manusia dalam rang undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG).

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial juga menggesa agar RUU itu dipertimbangkan dengan berhati-hati, dan berkata Ahli Parlimen harus menyokongnya pada peringkat dasar tetapi mencadangkan pindaan pada peringkat jawatankuasa.

“Jika pindaan yang diperlukan tidak sempat dibuat menjelang sesi (Parlimen) ini, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menangguhkan RUU itu kepada sesi berikutnya pada Oktober,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalid berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu mempertimbangkan secara serius pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Kesihatan, yang mencadangkan supaya penguatkuasaan larangan merokok generasi itu ditangguhkan selama tiga tahun.

Azrul berkata, RUU itu “sudah lama tertunggak dan sangat diperlukan” kerana ia akan membantu menyelamatkan nyawa ribuan rakyat setahun.

“Bagaimanapun, GEG adalah sebahagian daripada RUU lebih besar mengandungi peruntukan berkaitan penguatkuasaan dan penalti, yang kini tertakluk kepada semakan dan penelitian,” katanya.

“Banyak isu telah dibangkitkan, termasuk kemungkinan undang-undang ini boleh memberi kesan yang tidak seimbang terhadap golongan muda, golongan berpendapatan rendah, dan populasi rentan.”

Membandingkan RUU GEG Malaysia dengan undang-undang serupa di New Zealand, Azrul menegaskan bahawa New Zealand meletakkan tanggungjawab pada peruncit, firma dan syarikat untuk menguatkuasakan matlamat “Bebas Asap Rokok 2025”, serta tidak menghukum individu kerana memiliki atau menggunakan produk tembakau.

“Langkah-langkah GEG (Malaysia) harus memastikan bahawa menjadi satu kesalahan untuk menjual atau membekalkan produk tembakau atau produk vape kepada golongan yang lahir dari 1 Jan 2007, tetapi ia tidak sepatutnya menjenayahkan pemilikan atau penggunaan,” katanya.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok, yang bertujuan melarang penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2007.

Pada Sabtu, Khairy berkata, tidak ada rekod jenayah atau hukuman penjara bagi mereka yang melanggar undang-undang GEG, dengan pesalah hanya dikenakan kompaun maksimum RM50.

Khairy mendesak RUU itu selaras dengan usaha menjadikan Malaysia negara bebas tembakau menjelang 2040.

Beliau berkata, kerajaan akan menanggung belanja RM8 bilion untuk merawat penyakit berkaitan tabiat merokok seperti kanser paru-paru, masalah jantung dan penyakit pulmonari obstruktif kronik menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.