RUU generasi penamat: 18 tahun ke atas boleh merokok sampai mati, kata KJ

RUU generasi penamat: 18 tahun ke atas boleh merokok sampai mati, kata KJ

Menteri kesihatan berkata kerajaan mahu menamatkan putaran ganas ketagihan kesan merokok bagi individu lahir selepas 1 Jan 2007.

Khairy Jamaluddin berkata bagi mereka berumur 18 tahun ke atas dan sedang merokok termasuk rokok elektronik serta vape tidak akan dihalang dengan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
PETALING JAYA:
Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan mewujudkan Generasi Penamat (GEG) hanya akan membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Jan 2007.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagi mereka berumur 18 tahun ke atas dan sedang merokok termasuk rokok elektronik serta vape tidak akan dihalang dengan RUU itu.

Katanya, mereka boleh merokok sehingga akhir hayat jika itu yang dimahukan.

“Saya nak bagitau bawah peruntukan ini yang sedang merokok secara sah usia 18 tahun ke atas kita tak kacau, rokoklah sampai bila-bila…rokoklah sampai mati kita tak kacau.

“Ini hanyalah untuk generasi yang baharu, perlindungan kepada generasi yang baharu. Bagi mereka (18 tahun keatas) yang sedang merokok, merokoklah walaupun kita kata supaya berhenti, kita akan perhebatkan program penamatan merokok, tapi kalau mereka nak rokok juga, rokoklah. Tak ada apa-apa yang boleh kita buat melainkan larangan di tempat tertentu.

“Ini (RUU) untuk generasi yang lahir selepas tahun 2007 kerana kita nak tamatkan putaran ganas ketagihan yang sekarang ini wujud di kalangan perokok,” katanya ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua.

Khairy berkata, peruntukan larangan terhadap pemilikan produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau kepada individu yang lahir pada 1 Jan 2007 akan dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, ia membolehkan kerajaan mempunyai tempoh mencukupi untuk mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan mengenai pelaksanaan GEG.

“Larangan penuh penjualan rokok elektronik dan vape dicadangkan ke atas golongan GEG ini bertujuan untuk menurunkan peratusan merokok sehingga mencapai sasaran kurang 5% daripada keseluruhan populasi rakyat Malaysia. Sebagaimana penetapan kepada usaha untuk mencapai sasaran Generasi Penamat bagi merokok atau ‘The Generational End Game for Tobacco’ menjelang tahun 2040,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan sedar peratusan merokok tembakau melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan sejak 1986, 1996, 2015 dan 2019 tidak menunjukkan penurunan peratusan merokok yang ketara di mana terkini dianggarkan lima juta orang berumur 15 tahun dan ke atas merokok.

“Masalah merokok termasuk rokok elektronik dan vape yang semakin meningkat dalam kalangan murid sekolah dan golongan muda merupakan faktor utama menyumbang kepada penurunan yang sangat sedikit kepada peratusan merokok secara keseluruhan di Malaysia,” katanya.

Menurut RUU itu, individu lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu lahir pada tempoh berkenaan dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.