Malaysia setuju laksana cukai minimum global syarikat multinasional

Malaysia setuju laksana cukai minimum global syarikat multinasional

Cukai minimum 15% akan dikenakan kepada sesetengah syarikat multinasional, kata LHDN.

CEO LHDN Mohd Nizom Sairi berkata pelaksanaan sistem cukai itu penting untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.
PUTRAJAYA:
Malaysia secara dasarnya bersetuju untuk melaksanakan cukai minimum global sebanyak 15% kepada sesetengah syarikat multinasional, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Mohd Nizom Sairi.

Beliau berkata, Malaysia adalah antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu.

Nizom berkata, reformasi sistem percukaian antarabangsa itu dijangka dilaksanakan pada 2023 secara global dan Malaysia akan mematuhi ketetetapan diputuskan di peringkat OECD.

“Malaysia memang melibatkan diri secara aktif dalam ‘the working group discussions’ untuk memastikan kepentingan negara dan ekonomi membangun seperti Malaysia tidak ketinggalan dalam penentuan dasar cukai oleh OECD,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Polisi Cukai Malaysia ke-3.

Nizom berkata, pelaksanaan sistem cukai itu adalah untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.

Bagi memastikan firma multinasional membayar cukai yang sewajarnya, LHDN akan membangunkan strategi komprehensif untuk menangani risiko pematuhan cukai antarabangsa selain menggesa firma multinasional untuk lebih telus, katanya.

Katanya LHDN juga sedang memantau syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia dan syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen pemindahan harga.

“Di bawah Cawangan Cukai Multinasional LHDN, hampir 3,000 syarikat multinasional dalam pemantauan LHDN. Bagi syarikat tempatan tidak banyak…bukan semua wujud elemen pemindahan harga itu, tapi kita pantau secara rapi.

“Kebanyakan syarikat antarabangsa membabitkan perniagaan rentas sempadan tetapi bagi syarikat dalam negara, jika berlaku pemindahan harga ia (berlaku) antara kumpulan dalam syarikat itu (jika) ia menikmati cuti percukaian atau insentif percukaian apabila kadar cukai adalah rendah,” katanya.

Harga pemindahan merupakan harga yang ditentukan untuk urus niaga yang berlaku antara dua atau lebih entiti berkaitan dalam organisasi pelbagai syarikat.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nizom berkata, kadar 15% cukai itu akan memperuntukkan semula lebih USD125 bilion keuntungan daripada kira-kira 100 perusahaan multinasional (MNE) yang terbesar dan teruntung di dunia kepada semua negara.

Pada Oktober 2021, OECD mengumumkan 136 negara dan bidang kuasa daripada 140 ahli Rangka Kerja Inklusif OECD/Kumpulan 20 (G20) mengenai Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan Keuntungan (BEPS) telah bersetuju agar perusahaan multinasional tertentu akan dikenakan kadar cukai minimum sebanyak 15%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.