Lelaki lemas ketika menjaring ikan di Pantai Morib

Lelaki lemas ketika menjaring ikan di Pantai Morib

Polis menerima panggilan orang awam jam 12.15 tengah hari semalam berhubung penemuan mayat mangsa.

Menurut polis, mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar Freepik)
SHAH ALAM:
Aktiviti tiga sahabat menjaring ikan di Pantai Morib, Kuala Langat semalam berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12.15 tengah hari berhubung penemuan mayat mangsa.

Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, telah datang ke pantai itu bersama dua rakan lelakinya dari Gombak untuk menjaring ikan secara berasingan.

“Mereka berjanji untuk berjumpa semula dua jam setelah berpecah. Dua rakan mangsa telah naik ke pantai namun mangsa tidak. Ketika sedang mencari mangsa, dua rakannya melihat orang ramai berkumpul memaklumkan ada orang lemas.

“Dua rakan mangsa kemudian menghampiri mayat itu sebelum mengesahkan ia adalah rakan mereka. Mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” menurutnya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.